Rupa Gamelan Melayu

By Ahmad Syamiem Mohd Sukarno

Rupa Gamelan Melayu

Gamelan ni rupa dia macam mana ya? Apa beza gamelan dengan caklempong? Jom kita kenali gamelan melayu kita!

 

KEROMONG

          Nama alat ini adalah keromong. Keromong adalah 'ketua' dalam ensemble gamelan. Ia mempunyai 5 buah gong kecil disusun dalam satu baris dan mempunyai dua baris keseluruhannya. Buah-buah gong kecil tersebut disusun mengikut nada-nada tertentu di atas tali yang diikat pada rangka keromong tersebut. Alat ini dimainkan menggunakan dua tangan yang memegang pengetuk. Pemain keromong selalunya akan bermain sambil bersila atau duduk di atas bangku. Alat ini biasanya memainkan bunga melodi lagu.

 

GAMBANG

          Nama alat ini adalah gambang. Gambang selalunya diletakkan di sebelah keromong. Ini disebabkan gambang juga memainkan peranan yang sama seperti keromong yang memainkan bunga melodi lagu. Bilah-bilah gambang ini diperbuat daripada kayu. Bilahnya berbentuk segi empat panjang yang disusun nada rendah ke tinggi dari kiri ke kanan. Ia mempunyai 20-22 bilah mengikut gambang tersebut. Pemain gambang ni akan bermain dengan menggunakan dua tangan yang memegang pengetuk, sama seperi keromong. Pemain gambang juga akan bermain sambil bersila.

 

SARON BESAR DAN SARON KECIL

          Nama untuk alat ini adalah saron demong dan saron baron. Mengikut kata pemain istana atau orang dalam istana, ianya dipanggil saron besar dan saron kecil. Saron-saron ini mempunyai 6 bilah yang disusun satu baris. Kedua-dua alat ini merupakan alat yang sama sifatnya tetapi mempunyai saiz yang berbeza. Saron besar mempunyai nada yang rendah manakala saron kecil mempunyai nada yang tinggi. Ianya dimainkan menggunakan satu tangan yang memegang pengetuk. Alat-alat ini berperanan memainkan asas melodi lagu atau akar melodi sahaja. Pemain akan duduk bersila ketika memainkan alat ini.

 

GENDANG

          Nama alat ini adalah gendang. Gendang mempunyai dua muka. Kedua-dua kulit muka tersebut diperbuat daripada kulit lembu. Bentuk gendang selalunya berbentuk bujur dan memanjang. Pemain gendang menggunakan dua tangan untuk memainkannya. Di muka yang besar, mempunyai nada yang rendah. Manakala di muka yang kecil, mempunyai nada yang tinggi. Gendang biasa dimainkan secara bersila dan gendang tersebut diletakkan di atas kaki gendang.

 

KENONG

          Bentuk kenong adalah dari gong-gong yang besar disusun mengikut nada tertentu. Kenong mempunyai 5 buah gong. Ia disusun mengikut nombor turutan dari rendah hingga menaik bermula dari kiri hingga ke kanan. Bentuk susunannya selalu disusun dalam bentuk U. Ia berperanan sebagai penanda setiap frasa atau rangkai lagu. Pemain kenong biasanya akan duduk di atas bangku kerana rangka kenong ini agak besar dan agak tinggi. Ia dimainkan menggunakan satu tangan yang memegang pengetuk.

 

GONG

          Terdapat dua buah gong dalam gamelan. Gong yang kecil dinamakan sebagai gong kecil dan yang besar dinamakan sebagai gong besar. Bentuk gong adalah bulat dan mempunyai tombol di tengah-tengahnya dan digantung pada palang. Ia berperanan sebagai penanda tamat sesebuah lagu. Pemain memainkan gong menggunakan satu tangan sahaja dan pemain akan memukul di tengah-tengah tombol gong tersebut untuk membunyikan alat itu.

 

          Jadi, begitulah satu cara untuk kita mengenali gamelan melayu kita dengan lebih terperinci. Banyak lagi cara kita boleh kenal gamelan kita melalui teknik-teknik permainan, nada yang digunakan dalam sesuatu gamelan itu dan lain-lain lagi. Gambar di atas menunjukkan set gamelan melayu yang asal dan tertua, berusia 200 tahun dan rupanya mempunyai ukiran yang bersifat kesederhanaan. Mari sama-sama kita pelihara budaya kita agar tidak hilang dek ditelan zaman!