Special Picks: gamelan melayu

Gamelan ni berhantu ke?

By Ahmad Syamiem Mohd Sukarno

Gamelan ni berhantu ke?

          Apa itu gamelan? Gamelan itu sendiri adalah satu alat muzik tradisi yang berasal dari tradisi Jawa dan kemudiannya berkembang nusantara seperti di Bali dan Tanah Melayu. Dari segi instrumentasinya, ia berkembang sehingga bentuknya menjadi sampai seperti sekarang yang kita kenali ini pada zaman kerajaan Majapahit lagi.

 

(Gambar hiasan) Gamelan Melayu pertama tertua (berusia 208 tahun) yang tiba di Tanah Melayu.

 

          Untuk pengetahuan umum, kenapa gamelan kita dipanggil Gamelan Melayu kerana gamelan ini mula berkembang di istana Riau-Lingga dan seterusnya meneruskan tradisi Joget Gamelan (tarian istana diiringi gamelan Melayu) di Pahang dan Terengganu. Gamelan di Indonesia pula mempunyai beberapa jenis gamelan yang berbeza mengikut etnik atau suku, contohnya gamelan Jawa, Gamelan Bali, dan gamelan Sunda. Lebih menarik, gamelan sering dikaitkan dengan unsur-unsur mistik atau berpenunggu!

 

          Cerita ini bermula ketika saya masih fasa awal pembelajaran dalam gamelan Melayu. Saya masih ingat ada dalam 10 orang termasuk saya untuk belajar gamelan. Ketika itu, guru gamelan saya banyak memberi pengetahuan tentang gamelan antaranya pantang larang bermain gamelan. Antara pantang larangnya adalah jangan sesekali melangkah gamelan! Itu yang selalu ditekankan oleh guru saya setiap kali kami menjalankan latihan. Akibat jika melangkah, alat sulit kita akan membengkak, katanya. Saya juga pernah diberitahu oleh guru saya terdapat penunggu di setiap alat gamelan. PENUNGGU?! Menurut cerita lama, penunggu tersebut berdamping dengan alat gamelan untuk menjaga kualiti bunyi alat dan juga menjaga alat itu sendiri supaya berada dalam kondisi yang baik. Saya hairan, macam mana penunggu tu jaga? Penunggu tu duduk dekat mana?

 

 (Gambar hiasan) Alat Gamelan Melayu replika yang menyerupai Gamelan Melayu pertama yang tiba di Tanah Melayu pada awal abad ke-19 lalu (Gambar ihsan dari SeniKome Peng Heng)

 

          Semasa kami sibuk menjalankan latihan, guru kami sering mengingatkan kami supaya menjaga adab ketika bermain. Adab apa? Contoh, bila mengetuk gamelan, kita kena ketuk dengan lemah lembut. Bunyi yang keluar pun mendayu-dayu. Orang lain dengar kita main pun sedap. Bila kalau dah tak main, kena usap gamelan tersebut dan cuba bercakap dengan alat kita main tu. Cakap yang elok-elok. Barulah kita belajar tu, ilmu senang masuk dan susah keluar kata guru saya. Aduh pening. Kena bercakap juga ke dengan gamelan? Silap-silap gamelan tu sapa kita balik. Mahu tak berlari langkah seribu. Selain itu, guru kami sering mengingatkan kami kalau nak mulakan lagu, kena dibuka dengan lagu Perang dahulu dan lepas tu barulah boleh dimainkan lagu-lagu yang lain. Tak cukup dengan itu, habis pun kena ditutup dengan lagu Perang. Kenapa ya? Tak ke pelik tu...

 

 (Gambar hiasan) Generasi terakhir penari Joget Gamelan menari beriringan muzik di Istana Kolam,Terengganu pada tahun 1966.

 

          Siapa pernah dengar lagu Mulih/Muleh? Guru saya pernah cakap lagu Muleh ni bukan lagu sembarangan untuk dimainkan. Kalau nak main pun ada tujuannya. Guru saya cakap, tujuannya adalah menyembuhkan. Sembuhkan apa? Sakit ke? Bukan sakit. Lagu Muleh ni hanya boleh dimainkan kalau ada sesiapa saja yang tiba-tiba nampak 'lain'. Lain macam mana tu? Contohnya, bila seseorang tu dah naik syeikh dan tak sedarkan diri ketika bermain, barulah kita boleh memainkan lagu tu untuk pulihkan seperti sediakala. Secara konklusinya, hanya kita sendiri yang membuat keputusan sama ada gamelan itu berhantu atau tidak mengikut pengalaman masing-masing kerana mungkin pantang larang tersebut hanya untuk mendidik kita supaya kita lebih menghargai alat tradisi budaya kita sendiri. Atau memang dari dulu gamelan ni berpenghuni?

Read more


Cinta Pandang Pertama: Gamelan Melayu.

By Ahmad Syamiem Mohd Sukarno

Cinta Pandang Pertama: Gamelan Melayu.
          Saya mula mengenali Gamelan Melayu sejak saya berumur 12 tahun lagi ketika saya di Pahang. Ketika itu, saya cuma melihat dan tertanya-tanya, "alat muzik apakah ini?" "Bagaimana nak memainkannya?". Saya hairan. Kenapa alat ini dipinggirkan begitu sahaja. Saya mula cuba untuk mengetuk-ngetuk alat tersebut seorang diri tanpa ada sesiapa pun yang menemani saya. Saya cuba untuk mendalami bunyi gamelan tersebut. Ternyata! Bunyi ia amat menenangkan saya ketika itu dengan waktu petang yang tenang. Teramat tenang! Ketika saya lalai mengetuk alat tersebut, saya dikejutkan dengan seorang lelaki. Lelaki tersebut perkenalkan dirinya bernama En. Jasmi. Beliau bertanyakan saya, adakah saya seorang diri di situ. Saya menjawab ya. Dia mula bertanya lagi, "berminat ke untuk belajar?" Saya hanya mengangguk. En. Jasmi mula bercerita yang suatu ketika dahulu, gamelan ini selalu dimainkan oleh penggiat-penggiat gamelan di Pahang. Malah, ada festival lagi! Tapi kian masa berlalu pergi, gamelan di situ makin tidak mendapat tempat di hati orang. Gamelan semakin dilupakan. Beliau juga ada membuka kelas gamelan kepada sesiapa yang nak belajar apa itu gamelan. Tetapi tiada sambutan. Kemudian, En. Jasmi tanpa melengahkan masa, memberi satu cd gamelan dan meminta saya untuk mendengarnya. Beliau juga meminta saya untuk datang semula esok harinya dan membawa rakan saya yang berminat untuk belajar sama-sama.
(Gambar hiasan) Kumpulan Gamelan dari Perbadanan Muzium Sultan Abu Bakar bermain gamelan sempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019 lalu.
          Keesokkan harinya, saya datang ke tempat itu semula dan membawa 5 orang rakan saya yang lain untuk turut serta dalam mempelajari gamelan. Ketika dalam kelas, kami mempelajari lagu pertama iaitu Togok. Kami mengambil sekurang-kurangnya 5 hari untuk mempelajari lagu itu sahaja. Untuk pengetahuan pembaca, saya hanya memainkan satu alat sahaja iaitu gong. Setiap hari saya datang belajar gamelan, saya hanya memegang pengetuk gong sahaja ya. Saya tidak pernah mencuba alat lain kerana ketika itu kami semua lebih pentingkan penghafalan lagu dan penghayatan lagu.
          Setelah bertahun-tahun kami belajar, kumpulan gamelan kami kian berkembang dengan penambahan ahli kumpulan. Kami juga diberikan peluang untuk belajar dengan guru-guru lain antaranya Awang Kechik, seorang pemain Gamelan Muzium Pekan. Banyak ilmu pengetahuan yang kami peroleh dari beliau. Kami juga mula mendapat peluang untuk membuat persembahan di luar, dan antara yang terbesar adalah program perasmian songket terbaru dari Tengku Puan Pahang yakni Permaisuri kita sekarang. Sejak dari itu, saya mulakan langkah saya sebagai seorang pemain gamelan. Kalian pula macam mana? Pernah tak jatuh cinta dengan gamelan?

Read more

Recent Articles

Categories